KOTA KINABALU: Anggota Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggariskan beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan Sabah dalam memperkasakan pembangunan insan di negeri ini.
Beliau berkata antara masalah besar modal insan yang perlu ditangani dengan segera ialah penghijrahan pakar dari Sabah atau “brain drain”.
Menurut Salleh, Sabah mempunyai banyak pekerja yang berkemahiran tinggi yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini.
Bagaimanapun, katanya terdapat pakar tempatan terbabit yang tidak menetap atau bekerja di Sabah.
“Mereka berada di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Singapura dan Australia. Mereka mempunyai kemahiran yang kita perlukan tetapi telah memilih untuk mencari rezeki di tempat lain,” katanya.
Salleh berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Undanngan Negeri Sabah di sini hari ini.
Beliau berharap isu itu dapat ditangani segera kerana ianya menjejaskan kepentingan Sabah dalam sebarang pelaburan, termasuk Syarikat Gergasi dari China, Kibing Solar Group yang melabur sekitar RM 2.5 bilion untuk membina dua kilang di Sabah – SBH Kibing Solar dan SBH Kibing Silicon di Kudat.
Salleh turut membangkitkan isu ketidakpadanan pekerjaan yang menurutnya menyumbangkan kepada status Sabah yang mencatatkan kadar penggangguran tertinggi di Malaysia.
“Pada pandangan saya, isu ketidakpadanan pekerjaan ini adalah faktor besar kepada kadar pengganguran, selain dari isu lain seperti kebergantungan kita kepada tenaga pekerja asing,” katanya.
Selain itu, Salleh berkata isu Latihan Semula atau Belajar Semula (Retraining or Relearning) perlu diberi tumpuan.
Menurutnya kualiti modal insan di negeri ini pada masa akan datang akan bergantung besar dengan kebolehan tenaga pekerja yang pantas menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi alam pekerjaan baru.
Salleh berharap Kerajaan Negeri dapat mengambil inisiatif bagi membantu menangani isu itu dengan memperkasakan Institusi Pendidikan Tinggi milik Kerajaan Negeri.
Sementara itu, Salleh meminta kerajaan negeri supaya menimbang kemungkinan menganjurkan semula Tamu Besar Kota Belud selepas tidak diadakan untuk dua tahun berturut-turut iaitu 2022 dan 2023.
Beliau berkata program itu diyakini dapat merancakkan perniagaan tempatan dan pelancongan domestik dan
antarabangsa kerana Tamu Besar Kota Belud memilih keunikan tersendiri.
Salleh juga berharap Projek Bandar Digital di Kota Belud dapat diteruskan demi kebaikan bersama.