PUTATAN: Penunggang motosikal perkhidmatan penghantaran atau P-hailing digesa supaya mengutamakan keselamatan jalan raya terutama menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran ketika musim perayaan menyebabkan penunggang P-hailing lebih sibuk di jalan raya.
Menurutnya, walaupun sibuk mencari rezeki, aspek keselamatan perlu sentiasa menjadi keutamaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jom Balik Raya bersama penunggang P-hailing di Stesen Minyak Petronas Jalan Mat Salleh, Tanjung Aru.
Dalam program itu, Shahelmey turut menyampaikan baucar petrol kepada penunggang P-hailing dari kawasan Parlimen Putatan.
