SEMPORNA: Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di daerah ini pada 10 dan 11 Mac lalu bagi membanteras aktiviti pelancongan haram.
Operasi yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu dijalankan susulan aduan orang awam mengenai warga asing yang dipercayai menjalankan perniagaan pelancongan tanpa lesen.
Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos berkata operasi berkenaan melibatkan 231 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa.
Menurutnya, sebanyak 41 resort dan premis perniagaan diperiksa melibatkan kawasan bandar, pinggir bandar, kampung serta koloni setinggan.
“Hasil pemeriksaan terhadap 48 individu, seramai 20 dikenal pasti sebagai PATI kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua PATI diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Semporna untuk tindakan lanjut.
Selain itu, operasi turut mengesan pelbagai kesalahan pengurusan perniagaan dan keselamatan melibatkan nilai rampasan serta kompaun keseluruhan dianggarkan RM491,413.76.
Antara kesalahan dikesan termasuk penjualan minuman keras tanpa lesen serta penjualan daging penyu dan babi hutan secara haram.
