KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menegaskan Sabah dan Sarawak kekal komited sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, namun kedua-dua negeri itu berhak menuntut pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, Sabah dan Sarawak berkongsi banyak hak yang hampir sama dalam pembentukan Malaysia, justeru wajar kedua-dua negeri itu berunding sebagai satu blok dalam memperjuangkan hak yang termaktub dalam perjanjian berkenaan.
Menurutnya, pelbagai pandangan boleh diberikan mengenai istilah “blok Borneo”, namun perkara itu tidak menafikan hak Sabah dan Sarawak untuk bersama memperjuangkan pelaksanaan MA63.
“Tanpa Sabah dan Sarawak tidak akan ada Persekutuan Malaysia. Itu fakta. Jadi kita hanya menuntut apa yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran UPKO Putatan di Taipakkung Putatan, di sini.
Ewon berkata selagi perkara yang dipersetujui dalam MA63 belum dilaksanakan sepenuhnya, perjuangan menuntut hak tersebut akan terus diteruskan melalui rundingan dengan kerajaan Persekutuan.
