KINABATANGAN: Seramai 33 Ketua Isi Rumah (KIR) yang menjadi mangsa banjir di kampung Cangkul Buang Sayang Bukit Garam menerima bantuan barang keperluan makanan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, bantuan diberikan berupa bekalan makanan termasuk beras, minyak masak, tepung, susu, sardin, gula biskut dan barangan keperluan lain.
“Banjir kali ini walaupun agak terkawal namun ianya turut menjejaskan kehidupan masyarakat di kawasan ini dan dalam keadaan sekarang kita memahami bebanan serta kesulitan penduduk kampung.
“Justeru dengan sedikit sumbangan ini kita berharap ianya dapat meringankan beban yang mereka pikul” katanya.
Pengagihan bantuan dibawah program Ehsan Kasih Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat itu dilaksanakan semalam dengan diselaraskan secara kolaborasi.
Ia membabitkan kakitangan Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Kinabatangan, Pejabat DUN Lamag, UMNO Bahagian Kinabatangan termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang turun padang mengagih-agihkan sumbangan kepada para penerima di kampung Cangkul Buang Sayang.
Menurut Bung Moktar yang juga Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan sebaik mengetahui terdapat beberapa kampung dan kawasan yang terjejas, pihaknya terus menghantar pasukan untuk gerakan membantu mangsa banjir yang terlibat.
“Kinabatangan agak senonim dengan banjir terutamanya di musim hujan dan yang terkesan awal adalah penduduk yang tinggal berhampiran sungai Kinabatangan.
“Apabila hujan berterusan kita sering meminta mereka yang tinggal berhampiran sungai agar sentiasa berwaspada dan bersiap siaga..dalam masa yang sama pihak kita juga bersiap siaga bagi menghulurkan bantuan yang diperlukan” katanya
Bung Moktar menambah setakat ini belum ada laporan dari pihak berkuasa mengenai penduduk yang terjejas banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.