TENOM: Generasi muda diseru supaya mencontohi semangat perjuangan pahlawan Murut terbilang, Datuk Seri Ontoros Endoi @ Antanom, sebagai sumber inspirasi untuk memperkukuh perpaduan dan mempertahankan maruah negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Antanom bukan sahaja simbol keberanian masyarakat Murut, malah pejuang sejati yang berjuang mempertahankan hak semua rakyat tanpa mengira kaum.
“Perjuangan Antanom tidak berasaskan sentimen suku bangsa, tetapi demi membela hak dan maruah semua masyarakat pada zamannya. Jiwanya lebih besar daripada sempadan etnik,” katanya di sini hari ini.
Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Dr.Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, perjuangan Antanom membuktikan betapa besarnya nilai sebuah tanah air dan harga diri rakyat yang wajar dipertahankan.
Menurutnya, walaupun lahir sebagai pahlawan Murut, semangat juang dan pengorbanannya terhadap negeri ini perlu menjadi milik bersama seluruh rakyat Sabah.
Beliau menegaskan, Tenom yang kini pesat membangun sebagai sebuah daerah pelbagai etnik hanya akan terus makmur jika rakyatnya mengutamakan keharmonian dan kestabilan politik.
Katanya, kekuatan perpaduan dalam kepelbagaian akan membawa keyakinan dan penghormatan kepada Sabah di peringkat nasional, sekali gus memastikan limpahan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh.
“Sabah adalah rumah kita. Rumah ini hanya akan terjaga dengan baik jika diurus oleh kepimpinan yang benar-benar memahami dan menjiwai aspirasi rakyatnya,” tegasnya.
