Beli nombor plat SMJ ada duit, lupus hutang PTPTN pula tidak mampu – Mohd Shafie

PENAMPANG: Parti WARISAN (WARISAN) menegaskan janjinya untuk melupus atau membayar balik pinjaman pendidikan untuk anak negeri Sabah termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukan gimik politik menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 tidak lama lagi.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pelupusan baki hutang pendidikan itu bukan untuk menarik undi rakyat dalam pilihan raya, sebaliknya, manifesto yang berpotensi dilaksana jika WARISAN kembali mentadbir kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Semporna itu turut menuding kerajaan negeri ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sanggup membelanjakan wang terlalu banyak semata-mata membeli nombor plat kenderaan kerajaan yang menggunakan singkatan ‘SMJ’ iaitu merujuk kepada cogan kata negeri Sabah, Sabah Maju Jaya.

“Apabila saya mahu lupuskan hutang pinjaman PTPTN (untuk anak Sabah), orang lawan saya cakap ini gimik politik. Mana ada gimik politik.

“Kamu (kerajaan) ada wang beli nombor plat kenderaan RM1 juta SMJ, ada wang beli kereta bukan main lagi. Beli nombor plat boleh, tetapi belanja wang untuk selesaikan hutang anak Sabah tidak boleh pula,” katanya semasa berucap dalam program DSSA bersama warga Cina N. 25 Kepayan di sini hari ini.

Dalam satu majlis di Semporna pada minggu lalu, Mohd Shafie berjanji partinya akan melupus atau membayar balik pinjaman pendidikan PTPTN dan Yayasan Sabah apabila WARISAN menang PRN kali ini.

Bagaimanapun, penyelesaian hutang pendidikan untuk graduan dan pegawai kerajaan negeri itu hanya akan berlaku jika kewangan negeri berada pada tahap kukuh.

Katanya, WARISAN juga akan membiayai biasiswa penuh kepada anak Sabah untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Tidak senang mendengar tawaran itu, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak mudah terpedaya dengan janji berkenaan yang kembali dijadikan modal politik menjelang PRN.

Katanya, janji tersebut bukan perkara baharu dan pernah dilaungkan sebelum ini, namun gagal ditunaikan meskipun peluang sudah diberi.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie sekali lagi mendakwa, semasa pentadbiran WARISAN ketika pandemik Covid-19 berlaku, beliau membayar hutang lapuk kerajaan terdahulu sebanyak RM1 billion.

“Semasa menjadi kerajaan, saya bayar hutang si Musa Aman BN (bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman) (kini Yang di-Pertua (TYT) Sabah ke-11.

“Kalau saya boleh bayar hutang RM1 billion, kenapa hutang pelajaran anak-anak Sabah tidak boleh?” katanya.

Bagaimanapun, timbul dakwaan pihak tertentu yang pembayaran hutang lapuk itu sebagai satu bentuk pembohongan oleh kerajaan WARISAN.

Pada Disember 2020 ketika penggulungan perbahasan Belanjawan Sabah 2021 sidang DUN Sabah, media melaporkan yang Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor menafikan dakwaan WARISAN bahawa bon hutang kerajaan negeri RM1 bilion dilangsaikan dengan sekali bayaran pada 2019.

Sebaliknya, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata hutang berkenaan dibayar menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah yang ditubuhkan atas saranan Bank Negara ketika penerbitan bon itu pada tahun 2014.

Katanya, kerajaan negeri mencarum ke dalam kumpulan wang itu pada setiap tahun supaya tidak membebankan apabila membayar hutang pada tarikh matang bon berkenaan iaitu tahun 2019.