KOTA KINABALU: Kerajaan menyasarkan 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjelang tahun 2025.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, hasrat melahirkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030 dapat dicapai seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
“Kita beri ruang dan keyakinan kepada ibu bapa serta pelajar menerokai peluang yang disediakan dalam bidang TVET.
“Ini meliputì pengajian di politeknik, Giat Mara, IKBN (Institut Kemahiran Belia Negara) dah Institut Latihan Perindustrian (ILP),” katanya di sini hari ini.
Mustapha berkata, kebolehpasaran graduan TVET ini sehingga kini 90 peratus graduan ILP Kota Kinabalu mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Tidak salah meyambung pengajian ke Institut Pengajian Tinggi atau universiti.
“Tetapi janganlah kita memperlekeh bidang TVET yang kini mendapat permintaan yang tinggi dalam industri,” katanya.
Mengulas mengenai inisiatif Skim Bantuan TVET Madani Sepanggar Mustapha berkata, Skim ini memberi perlu kepada lepasan SPM untuk mendapatkan khidmat nasihat serta Khidmat bantuan kewangan permulaan pengajian dalam bidang kemahiran di institusi TVET Awam.
“Bagi mana-mana anak muda yang tiada idea mahu menyambung pengajian selepas pasca SPM, Skim Bantuan TVET Madani sedia membantu anda,” katanya.