KOTA KINABALU: Kerajaan perlu memberi pertimbangan semula cadangan ‘Santuari Tenggiling Tawau’ sebagai tarikan pelancong hidupan liar yang baharu di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api Datuk Christina Liew berkata, kawasan Taman Bukit Tawau yang dilindungi ini berpotensi besar untuk menarik kehadiran pelancong baharu ke negeri ini.
Katanya, cadangan ini pernah dikemukakan ketika berkhidmat selaku Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
“Setakat ini Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai penubuhan santuari telah ditandatangani antara Institut Penyelidikan dan Santuari Tenggiling Sabah Arizona (SAPSARI Arizona) dan Jabatan Hidupan Liar Sabah pada bulan Jun 2019,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri Sabah 2023 di sini, hari ini.
Christina berkata, Pengasas SAPSARI Arizona Peter Chan masih komited serta menunggu untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri bagi pembangunan projek tersebut.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap agar Belanjawan 2023 melibatkan RM5.138 bilion dengan lebihan RN130.47 juta akan mendorong Sabah ke arah pemulihan ekonomi di negeri ini.
“Sudah tentu bajet besar ini membawa kelegaan kepada rakyat, terutamanya keluarga yang kurang bernasib baik di daerah termiskin.
“Saya tertarik dengan usaha kerajaan kegeri untuk memulih dan membangunkan sektor pelancongan melalui pelbagai inisiatif pada tahun hadapan,” katanya.
Christina berkata ini merupakan satu inisiatif untuk mempromosikan Sabah di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pilihan untuk konvensyen dan seminar.
“Adalah menggembirakan untuk mengambil perhatian bahawa kerajaan telah menubuhkan Biro Konvensyen Sabah untuk mempercepatkan pertumbuhan industri pelancongan,” katanya.