Lapangan Terbang Tawau mampu tampung jumlah penumpang masa kini – Joniston

KOTA KINABALU: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melaksanakan Kajian Pelan Induk Lapangan Terbang Tawau bagi mengenalpasti keperluan jangka panjang Lapangan Terbang Tawau sehingga tahun 2050.

Pembangunan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata, berdasarkan kajian ini MAHB mencadangkan agar Lapangan Terbang Tawau dinaiktaraf daripada 1.5 Juta setahun kepada 2.5 juta penumpang setahun.

Katanya, namun penularan wabak COVID-19 memberi kesan negatif terhadap industri penerbangan negara.

“Syarikat penerbangan dijangka memerlukan tempoh masa sehingga tahun 2025 untuk pulih sepenuhnya dari impak wabak COVID-19, tertakluk kepada situasi semasa penularan wabak tersebut di dalam dan luar negara.

“Pada tahun 2020 dan 2021, jumlah penumpang Lapangan Terbang Tawau menunjukkan penurunan ketara masing-masing mencatatkan sebanyak 0.5 juta dan 0.4 juta penumpang berbanding tahun 2019 mencatatkan sebanyak 1.8 juta penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Justin Wong Yung Bin serta ADUN Kukusan, Rina Jainal dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Joniston berkata, berdasarkan statistik penumpang terkini, kapasiti pengendalian penumpang Lapangan Terbang Tawau pada hari ini masih mampu menampung keperluan permintaan sedia ada.

 “Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar sentiasa melaksanakan pemantauan dari masa ke semasa terhadap keperluan penambahbaikan dan penaiktarafan lapangan-lapangan terbang di negeri ini,” katanya.

Joniston berkata, Kementerian Pengangkutan sedang melaksanakan kajian National Airports Strategic Plan (NASP) yang dijangka akan dimuktamadkan pada bulan September tahun 2023.

“Berdasarkan hasil kajian ini nanti akan membantu kerajaan dalam menentukan perancangan masa hadapan bagi lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Tawau dengan lebih jelas dan efektif berdasarkan evidence based planning,” katanya.