Anwar tolak guna Mercedes S600 dibeli JPM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak menggunakan kereta jenis Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum beliau memasuki pejabat.

Anwar berkata, langkah itu diambil kerana beliau tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya.

“Saya ingin memaklumkan bahawa semalam saya telah menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum saya memasuki pejabat.

“Langkah tersebut diambil kerana saya tidak mahukan sebarang perbelanjaan baru dibuat ke atas saya.

Sebaliknya, saya telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian,” katanya melalui Twitter malam ini.

Semalam, Anwar mengingatkan semua anggota Kabinet yang bakal dilantik tidak lama lagi supaya tidak membazir bagi perbelanjaan tidak perlu, terutama untuk kerja baik pulih pejabat masing-masing.

Perdana Menteri berkata, anggota Kabinetnya juga diingatkan tidak menggunakan peruntukan kerajaan bagi kemudahan peribadi, sebaliknya ia perlu diutamakan bagi mengatasi lonjakan kos sara hidup dihadapi rakyat ketika ini.

Beliau yang mengumumkan tidak akan mengambil gajinya sebagai Perdana Menteri, antara lain menasihati bakal anggota Kabinet supaya sentiasa berjimat dengan lebihan peruntukan itu perlu dipulangkan kepada golongan susah.