Sandakan Elopura Marathon 2023 berlangsung Ahad ini

SANDAKAN : Sandakan Elopura Marathon 2023 yang julung kali diadakan pada Ahad ini telah menarik penyertaan lebih 1,700 pelari dari dalam dan luar negeri.

Acara sukan yang dinanti-nantikan itu merupakan anjuran bersama Persatuan Ortopedik Sandakan dan Kelab Larian Kinabalu, selain disokong oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Persatuan Pelancongan Sandakan.

Pengerusi Penganjur, Dr. Timothy Cheng mendedahkan marathon tersebut akan mengetengahkan tiga kategori iaitu 42 Kilometer, 21 Kilometer dan 10 Kilometer.

Katanya, kesemua kategori tersebut akan dilepaskan pada pagi Ahad ini bermula pukul 2 pagi, 4 pagi dan 6 pagi bertempat di Kompleks Sukan Sandakan.

Para peserta akan berlari merentasi beberapa laluan utama di Sandakan termasuk Jalan Lintas Sibuga, Jalan Batu Sapi, Jalan Cecily, Jalan Leila, Jalan Buli Sim-Sim, Jalan Lintas Utara, Jalan Airport dan Jalan Sibuga.

Menurutnya, bagi memastikan acara berjalan lancar, langkah kawalan lalu lintas yang menyeluruh akan dibuat dan pihak penganjur berharap pengguna jalan raya akan berwaspada dan memahami sekiranya terdapat sebarang gangguan lalu lintas sementara.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada beberapa pihak berkepentingan termasuk Kementerian Belia dan Sukan, MPS, Persatuan Pelancongan Sandakan, Lembaga Pelancongan Sabah, Polis, Kementerian Kesihatan, Bomba serta wakil perhotelan.

Jelasnya, usahasama semua pihak itu dapat meningkatkan kedudukan Sandakan dalam arena marathon antarabangsa sekaligus mempromosi keindahan dan kekayaan budaya yang terdapat di daerah ini.

Menurut Dr. Cheng, acara larian itu diiktiraf sebagai sebahagian daripada Siri Marathon Borneo, bersama Kota Kinabalu Borneo International Marathon di mana peserta yang berjaya menamatkan kedua-dua larian dalam tahun yang sama akan layak menerima baju-t dan medal khas.