Pelancongan berasaskan komuniti perlu dibangunkan secara agresif di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mahu Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) dibangunkan secara agresif berikutan potensi besarnya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar Sabah.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Lembaga Pelancongan Sabah (STB) boleh mengharapkan sokongan penuh kerajaan negeri untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi CoBT.

Joniston bersama pengusaha pelancongan tempatan.

Hajiji berbesar hati maklum bahawa walaupun masih dalam fasa pemulihan berikutan pandemik Covid-19, beberapa inisiatif yang diambil oleh kementerian dan STB telah membuahkan hasil, khususnya dalam sektor CoBT.

Beliau berkata 224,356 pelancong melawat destinasi pelancongan luar bandar di negeri ini tahun lepas, membawa masuk hampir RM8 juta resit pelancongan.

Antara kraftangan dipamerkan hari ini.

“Ini hanya mencerminkan angka dari Kadamaian (Kota Belud), Kiulu (Tuaran) dan Tambunan. Saya percaya angka itu mungkin lebih tinggi dan akan terus berkembang dengan dorongan agresif bersama dalam mempromosikan pelancongan luar bandar oleh semua Majlis Tindakan Pelancongan Daerah dan Persatuan Pelancongan daerah di seluruh negeri ini,” katanya pada pelancaran Ekspo CoBT Sabah di Suria Sabah di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata pelancongan merupakan antara tonggak utama pertumbuhan ekonomi negeri di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan Kerajaan Negeri akan melabur dalam pembangunan infrastruktur dan kemahiran untuk pelancongan masyarakat luar bandar.

Joniston melawat beberapa ruang pameran hari ini.

“Saya mahu melihat pelancongan masyarakat luar bandar Sabah berada setanding, jika tidak lebih baik, dengan negara lain. Kerajaan Negeri mengalu-alukan usaha STB dan Persekutuan Persatuan Pelancongan Luar Bandar Sabah (FeRTAS) supaya CoBT mempunyai jenama sendiri, satu langkah positif ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan.

“Kerajaan Negeri turut menyambut baik gesaan Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai semasa perhimpunan agung Pertubuhan Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) agar pelancongan berasaskan komuniti luar bandar diberi perhatian khusus oleh badan dunia,” katanya sambil memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha untuk CoBT Sabah untuk mencapai 80 peratus pematuhan Standard Asean menjelang 2030.

Ketua Menteri berkata ekspo tiga hari itu akan menjadi pelan transformasi untuk CoBT Sabah, mempamerkan kekuatan komuniti luar bandar, dan menawarkan pengalaman asli kepada pelancong.