KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menyalurkan bantuan tunai RM10,000 kepada keluarga seorang warga emas yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Sandakan awal pagi Selasa.
Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah, Datuk Awang Shahminan Sahari berkata Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson telah diarahkan mengesan waris mangsa bagi memastikan bantuan tersebut dapat disalurkan segera.
Mangsa dikenali sebagai Agustine J. Lingam, 76, yang dilaporkan cuba menghidupkan generator sebuah hotel sebelum tanah dari kawasan berhampiran runtuh dan menimbusnya.
Kejadian itu disahkan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung.
Dalam perkembangan lain, Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah memaklumkan seramai 1,306 mangsa banjir direkodkan di Kota Marudu, Paitan dan Pitas setakat jam 12 tengah hari ini, melibatkan 40 buah kampung.
