LAHAD DATU: Cubaan seorang lelaki menyeleweng minyak diesel bersubsidi terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) menahannya bersama sebuah lori tangki dalam serbuan di sebuah stesen minyak di sini, malam tadi.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan kira-kira jam 10.30 malam itu dijalankan hasil maklumat awam mengenai aktiviti penyelewengan diesel subsidi.
Beliau berkata, lelaki terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika mengisi diesel ke dalam tangki asal lori rigid tangki jenis Nissan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tangki lori itu telah diubah suai dengan pemasangan pam serta menggunakan hos bagi memindahkan diesel ke dalam tangki muatan.
“Modus operandi ini jelas bertujuan menyeleweng diesel subsidi dan cuba mengaburi penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, jumlah diesel yang diisi ke dalam tangki asal lori itu mencecah 9,000 liter, melebihi had yang dibenarkan pihak berkuasa.
Katanya, suspek warga tempatan ditahan untuk membantu siasatan manakala lori, diesel dan peralatan yang digunakan turut dirampas.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM519,500 dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1962.
