KOTA KINABALU: Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, khususnya sepanjang tempoh cuti semester.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pelajar perlu mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri susulan hujan lebat berterusan yang melanda beberapa kawasan di Sabah sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, keadaan cuaca semasa berpotensi meningkatkan risiko kejadian banjir kilat, tanah runtuh serta gangguan perjalanan.
“Pelajar dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti di kawasan berhampiran sungai, kawasan rendah yang mudah dinaiki air serta lokasi berisiko banjir.
“Keadaan cuaca yang tidak menentu boleh meningkatkan risiko kejadian tidak diingini, justeru pelajar perlu lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti harian walaupun berada di kampung halaman,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan Tahap Waspada di beberapa kawasan di Sabah bermula 10 hingga 11 Mac 2026.
Antara kawasan yang dijangka terjejas ialah Ranau serta beberapa daerah di Sandakan termasuk Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan selain kawasan Kudat.
