KOTA KINABALU: Bekalan beras di Sabah masih berada pada tahap mencukupi dan mampu menampung keperluan rakyat sehingga sembilan bulan, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata stok simpanan beras (stokpail) di negeri ini masih berada pada tahap selamat walaupun terdapat laporan kekurangan bekalan di beberapa daerah sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, jumlah bekalan itu menjadi lebih stabil apabila digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong serta bekalan beras tempatan yang ada ketika ini.
“Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong dan bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan sehingga sembilan bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jamawi berkata pihaknya telah menghubungi Bernas Sabah yang bertanggungjawab mengurus dan mengedarkan bekalan beras bagi mendapatkan penjelasan berhubung situasi tersebut.
Menurutnya, Bernas memaklumkan bahawa bekalan beras sebenarnya mencukupi dan kekurangan yang berlaku di beberapa daerah hanya bersifat sementara.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak panik kerana kerajaan sentiasa memantau keadaan bekalan makanan asas di negeri ini.
