Akta Kredit Pengguna 2025 berkuat kuasa 1 Jun ini

KOTA KINABALU : Industri kredit pengguna diberi tempoh enam bulan untuk mematuhi keperluan pelesenan dan pendaftaran di bawah Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) yang berkuatkuasa mulai 1 Jun 2026.

 
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu bertujuan memperkukuh ekosistem kredit pengguna di negara ini selain meningkatkan perlindungan terhadap pengguna.
 
“Di peringkat KPDN, usaha menambah baik perlindungan pengguna dilaksanakan melalui pindaan terhadap Akta Sewa Beli 1967 menerusi pindaan yang dilaksanakan pada tahun ini.
 
“Tujuannya menterjemahkan prinsip keadilan kredit pengguna dan pemodenan perjanjian sewa beli melalui beberapa perubahan antaranya pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata dan kaedah Peraturan 78,” ujarnya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media pada Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026, pada Ahad.
 
Menurut beliau, di bawah kaedah lama sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.  
 
“Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman.
 
“Sehubungan itu, pindaan berkenaan memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki dan Kadar Faedah Efektif bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.  
 
“Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa dan menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna,” katanya.
 
Beliau berkata pindaan itu juga membolehkan penggunaan teknologi dalam perjanjian sewa beli termasuk penggunaan tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik.  
 
“Selain itu, pindaan ini memperkenalkan keperluan pelaksanaan usaha wajar bagi pengesahan identiti peminjam sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan,” tambah beliau. 
 
Menurutnya, tempoh peralihan awal bagi pelaksanaan pindaan akta itu ditetapkan selama 18 bulan selepas tarikh diwartakan.
 
“Bagaimanapun, selepas rundingan lanjut,akta ini dipercepatkan pelaksanaannya dan akan dikuatkuasakan pada 1 Jun 2026, iaitu empat bulan selepas diwartakan pada 30 Januari lalu,” katanya.
 
Armizan juga memaklumkan penyedia yang bersedia boleh mula menawarkan perjanjian sewa beli mengikut pindaan baharu sebaik sahaja tarikh kuat kuasa berkenaan bermula.
 
Penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 diluluskan di Dewan Rakyat pada 21 Julai 2025 dan di Dewan Negara pada 4 September tahun sama