KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengalu-alukan pendekatan strategik kerajaan Persekutuan dalam membantu rakyat, termasuk penyaluran awal bantuan tunai menjelang Aidilfitri.
Ketua Menteri Hajiji Noor berkata langkah mempercepatkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mampu meringankan beban rakyat dalam membuat persiapan perayaan.
Beliau turut memuji inisiatif bantuan khas RM400 melalui program FlySiswa yang disediakan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam bagi penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sempena cuti Hari Raya.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan tambahan RM600 kepada pelajar anak Sabah yang menuntut di Semenanjung dan Sarawak bagi subsidi tiket penerbangan pulang ke kampung halaman.
“Bagi pelajar yang menuntut di dalam negeri pula, mereka akan menerima bantuan RM300 seorang untuk perbelanjaan pulang menyambut Aidilfitri,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Universiti Malaysia Sabah.
Beliau turut menegaskan kerajaan negeri akan terus menyokong kepimpinan kerajaan Persekutuan dalam usaha memperkukuh pembangunan negara dan memacu pertumbuhan ekonomi.
