KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengeluarkan lesen penerokaan kepada beberapa syarikat untuk cari gali mineral di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini merupakan peringkat awal dalam mengenal pasti sama ada terdapat mineral di kawasan yang dilesenkan atau sebaliknya.
Katanya, lesen penerokaan tersebut hanya sah selama dua tahun di mana ia akan terbatal sendiri selepas itu sekiranya mereka tidak menemukan sebarang mineral.
“Kerajaan negeri akan hanya membuat keputusan untuk aktiviti perlombongan kepada syarikat tersebut sekiranya jumlah mineral yang ditemui adalah ekonomik untuk dilombong,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan daripada ketua pembangkang Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.