KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 (2021 – 2025) merupakan satu pelan pembangunan komprehensif yang digubal dan dilaksanakan secara berfasa.
Katanya, Pelan pembangunan ini adalah milik bersama dengan slogan ‘Sabah Maju Jaya’ diambil daripada moto dalam jata negeri.
“Tujuannya untuk menanam nilai-nilai murni di kalangan rakyat Sabah, berdaya saing dan memajukan diri, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah, selaras dengan moto tersebut,” kata Hajiji.
Mengenai Assafal P Alian (Tungku) yang menyarankan Kerajaan negeri untuk mengeluarkan report card (kad laporan) atau pencapaian Pelan Pembangunan SMJ 1.0 : 2021 – 2025.
Hajiji berkata, dua laporan telah dikeluarkan iaitu Laporan Tahunan pencapaian sepanjang dua tahun Pelan Pembangunan SMJ dan Laporan Pencapaian inisiatif Tahun 2022, yang memaparkan perincian report card dengan markah pencapaian.
“Kedua-dua laporan ini boleh diakses melalui portal Sekretariat Sabah Maju Jaya: smj.sabah.gov.my. Sebuah buku juga telah diterbitkan dan Sekretariat SMJ akan mengedarkan kepada semua Ahli Yang Berhormat dalam tempoh terdekat,” katanya.