KENINGAU: Sabah menyasarkan mencatatkan lebih 1.7 juta ketibaan pelancong tahun ini selepas menunjukkan peningkatan sejak pembukaan semula sempadan selepas pandemik Covid-19.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sehingga kini Sabah mencatatkan 792,899 ketibaan pelawat dari Januari hingga April tahun ini, terdiri daripada 565,424 pelawat domestik dan 227,475 pelawat antarabangsa.
Katanya, ini menunjukkan trend peningkatan sebanyak 94.1 peratus berbanding 408,530 bagi tempoh yang sama tahun lepas.
“Ini memberi petanda baik bagi Sabah kerana kita terus mendorong lebih banyak sambungan udara ke Sabah.
“Sudah tentu 100 syarikat penerbangan untuk menambah perjalanan antarabangsa mingguan semasa dengan jumlah kapasiti tempat duduk 18,164 dan penerbangan domestik 366 dengan jumlah kapasiti tempat duduk 60,303,” katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri berusaha memajukan sektor pelancongan dengan menaik taraf kemudahan asas pelancongan untuk keselesaan dan keselamatan pelancong serta membangun dan meningkatkan kemahiran pengusaha pelancongan berasaskan komuniti (CoBT).
“Kita akan memberi keutamaan kepada CoBT dan mahu ia diperluaskan ke seluruh negeri supaya lebih ramai pengusaha di kawasan luar bandar mendapat manfaat daripada peluang ekonomi ini.
“Pada 2019, dua projek perintis CoBT di Kiulu, Tuaran dan Kadamaian, Kota Belud menunjukkan prestasi yang sangat baik dengan Kiulu menjana pendapatan RM5.45 juta, menarik 54,000 pengunjung dan mewujudkan 300 pekerjaan manakala projek di Kadamaian menjana RM2. 57 juta hasil, menarik 217,000 pelawat dan mencipta 251 pekerjaan,” katanya.