TUARAN: Setiap pertubuhan sukarela (NGO) perlu memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan sedia terjalin supaya masyarakatnya hidup aman sejahtera di negeri ini.
Ketua UMNO Bahagian Putatan Jeffery Nor Mohamed berkata, ini boleh dilakukan melalui pelbagai kegiatan yang diatur sepanjang tahun bukan sahaja melibatkan ahli persatuan namun perlu melibatkan masyarakat luar agar hubungan silatulrahim sentiasa terjalin.
“Melalui persatuan ia boleh memperkukuhkan perpaduan yang sedia terjalin dengan menganjurkan pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan, kebudayaan, sosial, akhlak, kebajikan dan moral untuk masyarakat,” katanya di sini hari ini.
Selain itu menurut Jeffery yang juga Pengarah Jabatan Pilihanraya UMNO Sabah badan-badan NGO dan pertubuhan sukarela juga perlu memiliki sikap cakna terhadap masyarakat dipersekitaran terutamanya golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Jika ada golongan yang kurang bernasip baik sebagai NGO kita wajar menghulurkan bantuan bukan sahaja dari segi keperluan kewangan malah program gotong royong dan sebagainya boleh dilakukan persatuan untuk membantu membaiki rumah-rumah golongan daif atau gotong royong membaiki kemudahan insfrastruktur seperti jambatan dan sebagainya yang melibatkan keperluan penduduk setempat,” katanya.
Dalam pada itu Jeffery juga berharap badan badan NGO(BELA) turut memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai konsep Malaysia Madani.
Menurut beliau , konsep yang diterapkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga wajar di sebarluas di negeri ini yang mempunyai pelbagai lapisan masyarakat.
“ Kefahaman ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan malah badan badan NGO mempunyai peranan penting dalam menerangkan kepada rakyat mengenai Malaysia Madani kerana di Sabah khususnya kita mempunyai kepelbagaian kaum ditahap tahap keharmonianya perlu dipertahankan,” katanya.