KOTA KINABALU: Tujuh kakitangan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang ditamatkan perkhidmatan serta merta pada 1 Jun lepas mendakwa tindakan terhadap mereka itu sebagai menyalahi peraturan dan tidak adil kepada mereka.
Ketua mereka, Malim Surat hari ini berkata, tindakan tersebut tidak menyatakan sebarang alasan mengenai penamatan jawatan itu walaupun semua kakitangan yang terlibat telah diminta mengosongkan pejabat.
“Bagi kami, tindakan tersebut amat mengejutkan dan beranggapan ia sesuatu yang tidak adil kepada kami sebagai kakitangan yang tidak melakukan apa-apa kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Malim merupakan bekas pemain pertahanan Sabah, mendakwa mereka telah dipanggil oleh Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom baru-baru ini mengenai penamatan perkhidmatan mereka itu atas arahan Setiausaha Agung yang baru, Datuk Rahman Zakaria.
Menurut beliau, kakitangan yang terlibat dengan penamatan perkhidmatan itu merasakan sebagai tidak adil kepada mereka tindakan yang dilakukan oleh majikan.
“Kami terpaksa mengosongkan pejabat sebagaimana yang di arah, namun kami juga tidak dibayar gaji yang tertunggak bulan lepas serta apa yang sepatutnya kami layak terima,” katanya.
Difahamkan, Pesuruhjaya Sukan (PJS) Sabah juga sedang menjalankan siasatan terhadap pemilihan ahli majlis tertinggi (AMT) SAFA yang dijalankan pada kongres tahunan persatuan itu pada 13 Mei lepas.
Justeru, sebarang tindakan yang dilakukan SAFA mengelirukan, tentang siapa yang diberi kuasa untuk melakukan penamatan perkhidmatan kakitangan terbabit, apa lagi dikehendaki untuk mengosongkan pejabat, ujar Malim yang mewakili tujuh kakitangan tersebut.
“Kami hanya mahu keadilan ditegakkan dalam perkara ini supaya penamatan perkhidmatan kami mengikut saluran undang-undang supaya tidak menjadi isu,” katanya.
Malim seterusnya berkata, sekiranya tiada penjelasan yang konkrit dari SAFA, semua kakitangan yang terlibat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab mengarahkan penamatan perkhidmatan mereka itu.