KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan trend meningkat dalam pelantikan tetap dan kontrak interim di sektor perkhidmatan awam bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2022.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA), Datuk Seri Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, Sabah bukan sahaja merekodkan bilangan permohonan tertinggi malah berada dalam kedudukan teratas dari segi lantikan baharu tahun lalu.
Katanya, ini sekali gus membuktikan kesedaran tinggi dalam kalangan belia negeri itu terhadap peluang kerjaya dalam sektor kerajaan.
“Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, Sabah kekal sebagai negeri dengan jumlah permohonan paling tinggi bagi mengisi kekosongan dalam perkhidmatan awam Persekutuan.
“Pada tahun 2024 sahaja, lebih 11 peratus daripada keseluruhan lantikan penjawat awam dibuat di Sabah, menjadikan negeri ini paling tinggi dari segi bilangan lantikan,” katanya di sini semalam.
Ahmad Jailani turut mendedahkan peningkatan penyertaan itu sebagai petanda positif terhadap tahap kesedaran dan minat belia Sabah, untuk menyertai perkhidmatan awam.
“Maknanya, mereka tidak lagi was-was untuk memohon kerana dulu risau takut ditukarkan ke Semenanjung ataupun ke negeri- negeri lain, jauh daripada negeri Sabah tapi hari ini nampaknya kesedaran itu telah jelas, bagus nampaknya.
“Jadi, mereka tidak lagi memilih lah untuk berkhidmat di mana-mana pun yang pentingnya dapat menyertai perkhidmatan dalam kerajaan,” jelas Ahmad Jalaini.
Menurutnya, SPA mula mengimplementasikan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam proses pengambilan penjawat awam, khususnya dalam ujian penilaian awal.
“Itu memang kita kena leverage, kita kena gunakan. Jadi, dalam konteks penggunaan AI ini kita memberi perhatian awal adalah dengan perkara yang berhubung dengan ujian kemasukan.
“Jadi, kita ada ujian yang kita panggil sebagai Psikometrik Calon (PC) Jadi dalam PC itu, dia punya sistem penggubalan soalan dan juga bagaimana soalan itu diberikan kepada setiap mereka yang menduduki ini, “ katanya.
