KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah mengunci perjanjian kerjasama bagi persiapan mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu telah dimuktamadkan, meskipun PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menjalin kesepakatan bersama.
“Kita telah muktamadkan kolaborasi kita bersama PH ertinya BN dan PH itu telah dikunci (kerjasama) sebagai rakan kongsi dalam PRN Sabah.
“Walaupun untuk PH dan GRS adalah satu kesepakatan bersama antara mereka yang juga telah dimuktamadkan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai persediaan menuju PRN Sabah, beliau yang juga Presiden UMNO itu berkata, BN masih terbuka untuk sebarang kerjasama bersama parti lain.
“Kita akan terus buka pintu kerjasama BN-PH dengan parti-parti lain atau gabungan lain untuk negeri Sabah,” ujarnya lagi.
Tegasnya lagi, kedua-dua gabungan politik itu juga akan memastikan proses demokrasi dalam PRN Sabah akan terus dimurnikan menerusi semangat kerjasama.
Baru-baru ini, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan, telah memuktamadkan kerjasama bersama PH bagi berdepan PRN Sabah.
Perkara itu katanya telah dicapai menerusi kesepakatan dalam kalangan komponen GRS.
Semalam, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh turut memaklumkan perkara sama berhubung pembahagian kerusi antara BN dan PH.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan secara terperinci berhubung agihan kerusi bagi setiap gabungan politik berkenaan.
