RUU Anti Lompat Parti dibentang sidang DUN Sabah – Christina

KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung pada 22 hingga 25 Mei ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, beliau mengesahkan perkara itu dalam sidang akhbar hari ini.

Christina merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah itu berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH akan menyokong RUU berkenaan.

“Berdasarkan pemahaman saya, kerajaan negeri akan membentangkan RUU ini pada sidang DUN ini.

“Perkara ini telah dimaklumkan oleh Ketua Menteri. Saya tahu dari mana kekeliruan ini timbul namun, ia (RUU) akan dibentangkan,” katanya di sini hari ini.

ADUN Api-Api itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya bahawa RUU Anti Lompat Parti mungkin tidak sempat dibentangkan pada sidang DUN kali ini.

Beliau berkata, sekiranya RUU itu tidak sempat dibentangkan maka, sidang DUN khas mungkin akan diadakan bagi membolehkan ADUN mempunyai masa mencukupi untuk berbahas mengenai RUU berkenaan.

Justeru katanya, tiada keperluan untuk membentangkan usul persendirian RUU Anti Lompat Parti seperti yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang DUN Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.