Mohd Ali Tamby Mulakan Tugas Komander baharu ESSCOM

KOTA KINABALU: Ketua Staf Pasukan Khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby hari ini memulakan tugas sebagai komander baharu ESSCOM.

Beliau menggantikan Datuk Hamzah Ahmad yang bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Berkelulusan sarjana undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Ali menyertai Pasukan Elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu Unit Tindakhas (UTK) selama 25 tahun selepas menamatkan latihan asas kepolisan pada 1990.

Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan penting seperti Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Selangor sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh di Perak, selain pernah berkhidmat sebagai pegawai pengiring pemimpin negara.

Mohd Ali menyandang jawatan Ketua Staf Pasukan Khas ESSCOM sejak 2019, mempunyai selama selama 35 tahun dalam PDRM.

Bahagian Khidmat Keurusetiaan ESSCOM menerusi satu kenyataan, memaklumkan pengalaman luas dan kemahiran dimiliki akan membolehkan Mohd Ali memberi suntikan baharu serta menerajui ESSCOM ke tahap lebih cemerlang.

Majlis Serah Terima Tugas Komander ESSCOM secara rasmi akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohamad Pajeri Ali kini menyandang jawatan Ketua Staf Pasukan Siasatan Khas/Teknikal; SAC Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa sebagai Ketua Staf Pasukan Khas, manakala SAC Azli Amin sebagai Ketua Staf Perisikan.