Ronald lancar program pelepasan ikan ke perairan umum antara usaha tingkat jaminan bekalan makanan negara

Ronald menyampaikan sijil DOF kepada Datuk Jamal Abdillah yang dilantik Ikon Konservasi Sumber Perikanan. Gambar MAFI

PUTRAJAYA: Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hari ini telah melancarkan pelepasan benih ikan ke perairan umum secara serentak seluruh negara di Tasik Putrajaya.

Secara keseluruhannya untuk program ini, sebanyak 1.85 juta ekor benih bernilai lebih RM900,000 dilepaskan bagi tujuan menambah stok perikanan.

Ronald berkata program pelepasan benih ikan ini dapat memberi kesedaran pada orang awam terhadap kepentingan memulihara ekosistem perikanan darat untuk generasi akan datang.

“Pertambahan stok ikan di perairan umum juga antara usaha bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan,” katanya menerusi satu kenyataan MAFI.

Pelepasan benih ikan merupakan program tahunan yang dibuat seluruh negara oleh Jabatan Perikanan sebagai langkah memastikan stok ikan darat sentiasa ada.

Jabatan Perikanan mengambil langkah yang konsisten secara serius dalam pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan darat kerana secara tidak langsung ia dapat meningkatkan sosioekonomi nelayan tempatan.

Mengikut rekod Jabatan Perikanan dari tahun 2016 hingga 2021, sebanyak 44.7 juta benih bernilai lebih RM50 juta telah dilepaskan ke perairan umum di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sarawak.