KKTP tambahbaik dasar,perundangan bagi tingkat penyampaian perkhidmatan – Masidi

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) memberikan tumpuan terhadap penambahbaikan dasar dan perundangan sedia ada bagi bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menterinya Datuk Masidi Manjun berkata usaha itu juga dilakukan bagi meneroka peluang-peluang baharu bagi menjana sumber pendapatan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya di antara undang-undang di bawah kementeriannya yang telah selesai disemak dan dibuat pindaan-pindaan tertentu adalah penambahbaikan terhadap surat cara (Instrument) 25 Pihak Berkuasa Tempatan dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam.

“Beberapa perundangan lain seperti Food and Eating Establishment By Laws, Public Amenities By Laws dan Uniform Parking By Laws juga sedang dalam tindakan Kementerian ini dan dijangka akan dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini,” katanya ketika menggulung di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Masidi berkata kementeriannya juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri dan Perbadanan Produktiviti Malaysia(MPC) bagi melaksanakan Penggubalan Polisi Amalan Baik Peraturan Negeri Sabah yang dinamakan GRP Sabah.

Katanya melalui program ini, kementeriannya melaksanakan semakan dan kajian terhadap 335 Undang-Undang 5 Kecil (By Laws) yang sedang digunapakai oleh PBTdi seluruh negeri.

Beliau berkata output daripada semakan dan penelitian tersebut adalah untuk sama ada mengemaskini undang-undang kecil melalui pengubalan Undang-undang baharu, membuat pindaan bersesuaian atau memansuhkan terus undang-undang kecil tersebut.

Selain itu, katanya, kementeriannya juga sedang dalam proses menyediakan satu garis panduan yang seragam bagi pengeluaran lesen operasi PBT untuk memudahkan golongan peniaga mendapatkan lesen operasi bagi perniagaan mereka.