RM8 bilion sasaran LKM Eksport Koko Tahun ini – Fadillah

KOTA KINABALU: Lembaga Koko Malaysia (LKM) menyasarkan eksport koko negara mencatatkan nilai RM8 bilion tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata justeru, pelbagai program seperti promosi antarabangsa dan domestik dilaksanakan sebaik mungkin untuk memastikan sasaran itu dapat dicapai.

“Industri koko pada 2022 telah menyumbang sebanyak RM7.82 bilion melalui perolehan eksport, iaitu meningkat daripada RM6.87 bilion pada 2021,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata sektor huluan koko yang melibatkan pengeluaran biji koko masih tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan negara.

Oleh yang demikian, program seperti Hab Perdagangan Koko telah dilancarkan pada 2022 bagi memudahkan proses pengimportan biji koko kering, katanya.

“Selain itu, LKM juga menggalakkan pengeluaran biji koko ‘premium’ dan ‘single origin’ yang dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding biji koko ‘bulk beans’ dan ini mampu meningkatkan pendapatan pekebun,” katanya.

‘Single origin’ bermaksud asal usul koko tersebut dapat dijejaki. Termasuk profil pekebun yang mengeluarkanya serta geografi persekitaran kebun yang menghasilkan koko itu.

‘Bulks beans’ pula campuran pelbagai varieti dan gred biji koko yang dijual secara pukal.

Beliau berkata Program Pembangunan Usahawan Coklat juga perlu dilaksanakan untuk meningkatkan bilangan usahawan, kapasiti pengeluaran dan peluasan pasaran produk usahawan.

“Pada tahun lepas saya difahamkan sebanyak  242 orang telah berdaftar sebagai usahawan bimbingan LKM dengan jumlah produktiviti pengeluaran 103 tan produk coklat bernilai RM6.8 juta,” katanya.

Fadillah berkata LKM dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) juga bekerjasama untuk membantu meningkatkan pendapatan pekebun koko dengan pihak Angkasa akan menyediakan keperluan berkaitan seperti mengenal pasti koperasi dan mengerakkan model latihan bagi menyokong aktiviti koperasi kluster koko.

“Kerjasama telah bermula pada 2021 apabila pihak Angkasa telah memberikan dana sebanyak RM150,000 untuk pembinaan dua kemudahan pemprosesan koko mini di Sabah dan satu di Sarawak yang telah siap pada 2022 dan diguna pakai oleh pekebun koko,” katanya.

Sementara itu, ketika sidang media, Fadillah berkata sasaran eksport koko Malaysia tahun ini menyasarkan terutama negara di benua Asia.

“Paling banyak ekport kita adalah melalui Johor, dengan pemprosesan juga dilaksanakan di Johor sebab pengimport paling dekat dengan kita ialah Singapura di samping negara Asia Tenggara lain.

“Cabaran kita adalah daripada penghasilan biji koko itu sendiri untuk dibekalkan kepada industri koko kita,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini pekebun lebih memilih kelapa sawit, kerana antara lain proses kerja dan pengurusan lebih mudah berbanding koko, namun pihaknya sedang berusaha menarik lebih ramai pekebun menanam koko menerusi langkah antaranya pemberian bantuan serta kerjasama dengan syarikat besar serta koperasi.

Fadillah berkata pada masa ini negara mengimport kira-kira RM6 bilion biji koko setahun dan mengeksport produk koko sebanyak RM7.82 bilion untuk tahun kepas, justeru pelbagai usaha sedang dilakukan untuk mengurangkan kebergantungan kepada biji koko diimport.

“Kita masih mencatatkan lebihan (dagangan) namun, jika kita boleh mengeluarkan dalam negara, kita boleh mencatatkan lebih banyak (pendapatan).

“Kita sedang berusaha untuk menambah baik bukan sahaja pekebun kecil malah juga pemilik ladang supaya kita boleh mengeluarkan lebih banyak dan mengurangkan import, pada masa sama kita boleh menumpukan kepada produk akhir, dan boleh mengeksport lebih banyak,” katanya.