RM60 juta bina fasa 3 tampung 700 pelajar baharu IPDAS Keningau – Hajiji

KENINGAU Sejumlah RM60 juta diluluskan untuk pembinaan fasa ketiga Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pembinaan dijangka siap sepenuhnya Mac 2026, sekali gus mampu menampung 700 orang berbanding hanya 300 pelajar pada ketika ini.

Katanya, selepas siap kelak IPDAS berupaya memiliki tenaga kerja mencukupi serta mampu memastikan projek ini mampu melonjakkan tahap kualiti pendidikan di Sabah.

“Saya mengalu-alukan langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengambil berat soal menaik taraf kemudahan pendidikan khususnya IPDAS ini.

“Kita yakin IPDAS berupaya untuk menggalas tanggungjawab melahirkan generasi berpendidikan tinggi, membentuk modal insan yang berkeupayaan sebagai pendakwah profesional dalam kalangan masyarakat,” katanya di sini hari ini.

Hajiji juga mempelawa pelabur datang dengan tujuan mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.

“Secara tidak langsung akan mendedahkan anak-anak tempatan kepada berbagai jenis latihan, termasuk menggalakkan pemindahan teknologi tinggi untuk dimanfaatkan rakyat negeri ini.

“Kerajaan negeri memastikan anak-anak negeri ini dapat meneruskan pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi, menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan,” jelas Hajiji.

Dalam masa sama, Hajiji mengingatkan graduan berhasrat menerokai alam pekerjaan agar jangan terlalu memilih kerja dan menginginkan gaji yang besar semata-mata.

“Kerana zaman kini tidak sama seperti zaman dahulu dimana jawatan kosong sentiasa tersedia untuk diisi oleh mereka,” kata Hajiji.