Nelayan hilang keluar menangkap ikan belum ditemui

LABUAN : Polis melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang sejak pagi di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Labuan, Supt Mohd Hamizi Halim berkata, mangsa dikenali sebagai Ramlee Maarof, 46 tahun berasal dari Kampung Tanjung Aru Labuan dipercayai turun ke laut menangkap ikan dengan menaiki bot bersama dua enjin sangkut.

Katanya, bagaimanapun mangsa dilaporkan tidak balik ke rumah sehingga jam 3.00 menyebabkan isterinya Sannieza Matasan, 41 bertindak membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan.

“Pihak pasukan operasi di lancarkan tertumpu di sekitar kawasan mangsa selalu menangkap ikan iaitu di Terumbu Tompok Karukan, Tompok Jahat Barat dan Beting Eris, di Perairan Labuan.

“Kita menggerakkan lima aset membabitkan sebuah kapal serta empat bot dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk mengesan mangsa,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mohd hamizi berkata, sehingga kini mangsa belum ditemukan manakala SAR masih diteruskan untuk mengesannya.