KOTA KINABALU: Sejumlah RM54.05 juta dalam Belanjawan 2023 Sabah disediakan untuk bantuan serta pemberian kepada sekolah dan perkembangan badan keagamaan bukan Islam di Sabah tahun hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan dan pemberian itu meningkat sebanyak RM7.05 juta berbanding tahun 2022.
“Sebagai kerajaan yang prihatin dan saksama, kita akan meneruskan bantuan dan peruntukan kepada Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam yang juga akan memberi manfaat kepada gereja-gereja di negeri ini.
“Inilah tanda dan bukti bahawa Kerajaan Negeri serius dan ikhlas dalam membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama”, katanya di sini semalam.
Teksnya disampaikan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Hajiji menyeru kepada seluruh rakyat untuk terus bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan kemakmuran sosial dapat terus dipelihara dan dipertingkatkan demi kesejahteraan dan manfaat bersama.
“Lupakanlah perkara berkaitan politik kerana sekarang adalah masa untuk kita bekerja demi rakyat dan negeri.
“Apa yang penting, kerjasama dan sokongan daripada rakyat akan menyumbang kejayaan kepada segala dasar dan program yang sedang kita laksanakan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.