RM2.4 juta disalur bantu mangsa kebakaran Kg Landung Ayang

KUDAT: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyalurkan peruntukan khas berjumlah RM2.4 juta kepada semua pemilik 120 buah rumah musnah akibat bencana kebakaran di Kampung Landung Ayang.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata setiap rumah akan menerima RM20,000 dalam bentuk bahan binaan bagi membina semula rumah mereka.

“Saya berharap agar bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi oleh semua mangsa kebakaran.

Hajiji melawat mangsa kebakaran Kg Landung Ayang. Gambar JKM.

“Bantuan yang disalurkan ini menunjukkan rasa prihatin serta kebersamaan Kerajaan Negeri dengan rakyat yang ditimpa musibah atau kesusahan”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa kebakaran Kampung Landung Ayang, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, mangsa kebakaran dibenarkan membina semula rumah mereka di tapak sedia ada dengan dikawal selia Lembaga Bandaran Kudat, agar ianya teratur dan berjarak.

Mewakili Kerajaan Negeri, beliau merakamkan rasa simpati kepada semua mangsa bencana kebakaran dan berharap agar semua mangsa yang terlibat terus tabah dan sabar dalam menghadapi ujian ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan turut membantu rakyat yang ditimpa musibah atau kesusahan di semua kawasan di negeri ini, tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik.

Terdahulu Hajiji menyampaikan sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM500 kepada seramai 176 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa kebakaran kampung tersebut yang ditempatkan di Dewan Tun Mustapha.