KOTA KINABALU: Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan mengajak semua Wakil Rakyat agar dapat bersama-sama menunaikan solat secara berjemaah di Masjid serta Surau di seluruh kawasan mereka.
Katanya, pemimpin serta ahli politik muslim mesti menjadikan solat berjemaah sebagai rutin harian mereka sekali gus tidak menjadikan hanya berlaku pada musim tertentu.
“Jangan pula ada Wakil Rakyat hanya datang berjemaah untuk solat Jumaat atau Hari Raya sahaja. Jangan juga ada Yang Berhormat ‘pijak’ masjid ketika ada program atau hanya menyampaikan sumbangan sahaja.
“Susun masa anda supaya agar sempat berjemaah di rumah-rumah Allah. Masjid dan surau bukan tempat eksklusif. Sifat masjid adalah inklusif. Masjid dan surau tempat yang penuh rahmat,“ katanya.
Beliau berkata demikian dalam catatannya dalam laman Facebook rasminya hari ini.
Dr Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan Sabah berkata, sebagai ahli politik, beliau melihat kempen seumpama ini sangat penting bukan hanya untuk orang awam tetapi juga kepada semua warga politik khususnya wakil rakyat.
“Pemimpin serta orang politik sepatutnya menjadikan masjid dan surau antara lokasi penting untuk dilawati dengan menjadikan solat sebagai tunjang kehidupan.
Dalam perkembangan sama beliau sangat tertarik dengan pelancaran program Bulan Solat dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Ustaz Idris Ahmad baru-baru ini.
“Saya yakin ini juga bersesuaian dengan bulan Rejab, yang mana berlakunya satu peristiwa besar iaitu Israk dan Mikraj.
“Antara perkara penting yang terkandung dalam peristiwa ini ialah kewajipan solat lima waktu sehari semalam khusus untuk orang Islam..Ayuh datang dan solat berjemaahlah di rumah-rumah Allah,” katanya.