GRS didaftarkan dalam tempoh terdekat – Hajiji

KUDAT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan didaftarkan secara rasmi dalam memastikan kerjasama antara parti dapat dimantapkan.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, perkara itu merupakan permintaan dalam kalangan antara parti gabungan di negeri ini.

“Insya-Allah dalam tempoh terdekat GRS akan kita daftarkan, kerana inilah kemahuan parti gabungan ini.

“Kita mesti ada satu gabungan parti yang rasmi, sekiranya didaftarkan kelak gabungan ini bertambah mantap khususnya dalam kerjasama di antara parti yang mendokong kerajaan negeri sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni dan menyerahkan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa kebakaran Kampung Landung Ayang di Dewan Tun Mustapha, di sini, hari ini.

Sementara itu ketika mengulas mengenai hasrat Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dipimpin Datuk Peter Anthony menyertai atau menyokong GRS, Hajiji menyambut baik perkara tersebut.

Bagaimanapun katanya, sebarang keputusan mestilah mendapat sokongan kukuh daripada parti pemerintah yang sedia ada terlebih dahulu.

“Jadi mengenai hasrat parti yang dipimpin Datuk Peter Anthony menyertai atau menyokong GRS, kita sangat mengalu-alukan.

“Inilah tujuan kita untuk satu kestabilan politik di negeri Sabah supaya kita dapat fokus untuk membangunkan negeri Sabah.

“Kita baru sahaja diberi mandat untuk memerintah negeri Sabah dan kita lebih kurang empat tahun lagi jadi usaha kita patut ditumpukan kepada pembangunan, ekonomi dan rakyat kita.

“Jadi, sangat mengalu-alukan, tetapi apa pun kita mempunyai gabungan parti-parti lain di mana apa pun kita lakukan atau putuskan, mestilah mendapat sokongan dan dokongan daripada semua rakan-rakan,” katanya.

Peter merupakan bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN) terdahulu bertindak keluar daripada parti berkenaan pada Disember tahun lalu sebelum menyatakan hasrat menubuhkan parti baharu pro GRS.

Untuk rekod, GRS terbentuk selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) Sabah pada tahun 2020 melibatkan gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).