KENINGAU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) merancang pelbagai program untuk melahirkan atlet berpontesi besar mewakili negara pada masa depan.
Menterinya, Datuk Ellron Angin berkata, adalah menjadi matlamat KBSS untuk memperkasakan pelbagai program pembangunan agar Sabah dapat melahirkan atlet pelapis dalam tempoh terdekat.
Katanya, generasi muda di kawasan pedalaman perlu bersaing mempamerkan bakat sekali gus berpeluang mewakili negara pada masa depan.
“Selaku Menteri Belia dan Sukan Sabah, saya mengharapkan agar ada anak tempatan kawasan ini dapat mewakili pedalaman Sabah sehingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Manfaatkan peluang hari ini untuk mengasah bakat anda..saya melihat banyak bakat boleh diketengahkan dan dilatih agar setanding dengan pemain di peringkat negeri mahupun kebangsaan,” katanya.
Elron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata, beliau sentiasa menyokong serta memberi galakkan agar anak tempatan pedalaman Sabah dapat melahirkan atlet terbaik di negeri ini pada masa depan.
Sementara itu dalam perkembangan sama Elron, menyampaikan hadiah Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Antara Mukim (Tertutup) Piala ADUN N.45 Sook.
Pasukan Mukim Ansip diumum selaku juara membawa pulang RM1000 manakala Mukim Sook tempat kedua Mukim Dalit ketiga masing-masing menerima wang tunai RM700 dan RM500.
Kejohanan sehari itu berlangsung di Padang Penjara Sekolah Henry Gurney.