Ratusan Ribu Pelajar Di Luar Bandar Terjejas Akibat Penamatan Khidmat Jalur Lebar Secara Percuma – Naim Moktar

KOTA KINABALU: Penamatan Perkhidmatan Jalur Lebar ‘Secara Percuma’ di luar bandar mengundang masalah kepada ratusan ribu pelajar apabila ia bakal ditamatkan dalam kadar segera.

Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar berkata, masyarakat di kawasan luar bandar khususnya di Sabah ingin mendapatkan penjelasan terperinci berkaitan bekalan internet jalur lebar percuma ini dibatalkan sekali gus apakah inisiatif baharu bakal diperkenalkan oleh kerajaan.

Katanya, ketika ini ratusan ribu pelajar di kawasan luar bandar sangat bergantung penuh kepada perkhidmatan ini untuk meneruskan aktiviti pembelajaran seharian mereka.

“Baru-baru ini satu notis dikeluarkan kepada pengendali Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh Sabah mengesahkan bahawa perkhidmatan ini akan ditamatkan dengan kadar segera.

“Setakat ini kontrak untuk membekalkan perkhidmatan internet jalur lebar percuma belum lagi diperbaharui sekali gus berkemungkinan tidak akan diperbaharui oleh kerajaan pada masa kini,” katanya dalam ciapannya di Facebook rasminya hari ini.

Mohd Naim yang juga Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil perlu maklum sehingga hari ini tidak semua kawasan di luar bandar Sabah mempunyai liputan komunikasi yang baik.

“Penamatan bekalan perkhidmatan ini sudah pasti akan mencacatkan kehidupan mahupun pembelajaran masyarakat di luar bandar apabila ia akan ditamatkan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, pada 2012, kerajaan memperkenalkan bekalan internet jalur lebar percuma di luar bandar yang kurang mendapat liputan komunikasi bagi mengatasi masalah jurang digital diantara penduduk bandar dan luar bandar.

“Saya mewakili seluruh masyarakat di luar bandar Sabah mengesa agar ada penjelasan secara menyeluruh mengapa bekalan internet jalur lebar percuma ini dibatalkan dan apakah inisiatif baharu yang mahu diambil oleh kerajaan dalam tempoh terdekat,” katanya.