Penamatan WIFI Komuniti Percuma Pusat Ekonomi Digital di luar bandar Sabah tidak wajar – Suhaimi

SANDAKAN: Penamatan WIFI Komuniti Percuma Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di negeri ini oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) adalah tidak wajar dan mengundang masalah kepada pelajar di kawasan luar bandar.

Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata ramai pelajar di kawasan luar bandar Sabah masih bergantung dengan WIFI komuniti percuma yang disediakan oleh PEDi bagi meneruskan aktiviti pembelajaran harian.

“Tidak semua kampung ada memiliki PEDi atau sebelum ini dikenali sebagai Pusat Internet Komuniti untuk pelajar kunjungi, ada pun terletak jauh dari kampung mereka,” katanya ketika mengulas mengenai penamatan WIFI Komuniti PEDi yang tular hari ini.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran menjelaskan pelajar di kawasan luar bandar masih bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan WIFI komuniti percuma untuk pembelajaran mereka.

“Menteri KKD Fahmi Fadzil sewajarnya membuat kajian secara menyeluruh berhubung perkhidmatan itu sebelum menamatkannya.

“Jika benar, notis yang telah dikeluarkan kepada pengendali PEDi di seluruh Sabah dengan mengesahkan bahawa perkhidmatan itu akan ditamatkan dengan kadar segera. Kontrak untuk membekal perkhidmatan internet jalur lebar percuma itu belum lagi diperbaharui dan mungkin tidak akan diperbaharui oleh pihak kementerian untuk masa ini.

“Ini adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku sekaligus akan bakal mengundang masalah kepada masyarakat luar bandar khasnya golongan pelajar B40,” tegasnya.

Justeru itu, Suhaimi meminta Menteri KKD membuat penjelasan berhubung perkara ini dan apa inisiatif baharu kementerian untuk diperkenalkan oleh kerajaan bagi memastikan golongan pelajar luar bandar Sabah ini tidak terjejas dalam menjalankan aktiviti pembelajaran mereka yang memerlukan akses internet.