Rangka inisiatif tingkatkan ekonomi dalam mesyuarat SOM, MABIMS – Hajiji

KOTA KINABALU: Satu inisiatif perlu dirangka bagi memberi impak positif kepada peningkatan taraf ekonomi umat Islam di negara anggota MABIMS.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia penting terutama selepas pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia yang turut menjejaskan ekonomi seluruh dunia.

“Pembangunan ekonomi memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan sesebuah negara.

“Saya berharap mesyuarat ini akan menjadi tempat untuk berbincang sekali gus mencari inisiatif untuk meningkatkan taraf ekonomi umat Islam di negara anggota MABIMS.

“Ini kerana Mesyuarat SOM adalah forum yang amat penting untuk membincangkan isu dan cabaran umat Islam dalam kalangan negara anggota MABIMS, termasuk aspek ekonomi,” katanya.

Hajiji berkata, pertemuan ini juga penting bagi mengeratkan hubungan dua hala sedia terjalin antara Malaysia dan negara anggota MABIMS ke arah usaha membangunkan umat Islam di rantau nusantara.

“Kita harap mesyuarat ini bukan saja mengeratkan hubungan sedia ada antara Malaysia dan negara anggota MABIMS, tetapi mampu mengukuhkan lagi kesatuan serta menjadikan umat Islam di negara anggota MABIMS umat yang progresif yang cintakan kedamaian dan keharmonian.

“Kerjasama dalam membangun umat Islam di negara anggota MABIMS terus ditingkatkan khususnya dalam aspek daya tahan keagamaan dan mutu kehidupan beragama serta kesejahteraan sosio-ekonomi,” katanya.

“Sabah mempunyai penduduk yang terdiri daripada 33 kumpulan pribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik yang berbeza dan berlainan agama.

“Perbezaan ini menjadikan negeri Sabah sebuah negeri yang unik serta istimewa berbanding negeri lain di Malaysia.

“Keharmonian etnik hidup dalam suasana aman damai dan saling hormat menghormati menjadikan negeri Sabah sering menjadi pilihan utama destinasi pelancong dari dalam dan luar negeri,” katanya.