SEMPORNA: Seorang lelaki dipercayai hilang, apabila botnya bertembung di Pulau Boheyan Semporna kini disahkan selamat berada di Pulau Sitangkai Filipina.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah berkata, keluarga lelaki terbabit sudah membuat laporan polis sekali gus mengesahkan mangsa dalam keadaan selamat.
“Ketika kejadian berlaku, mangsa diselamatkan oleh bot orang awam. Kita mengesahkan lelaki terbabit selamat dan kini berada di Pulau Sitangkai Filipina,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, susulan pengesahan tersebut operasi mencari serta menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 5.10 petang semalam.
Dalam kejadian semalam, Bilik Kawalan BBP Atas Air Semporna menerima panggilan kecemasan berlaku pelanggaran dua buah bot di Pulau Boheyan Semporna pada jam 6.20 pagi.
Menurut laporan dari polis marin terdapat seorang mangsa lelaki dilaporkan hilang. Maklumat mengenai identiti mangsa tidak diperolehi.