Ranau paling banyak laksana sistem tagal di Sabah – Joachim

RANAU: Daerah ini merekodkan jumlah tagal atau penjagaan sungai mengikut sistem adat yang terbanyak di Sabah membabitkan 126 lokasi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata daerah ini juga merekodkan jumlah tagal eko pelancongan yang banyak dan menjadi tarikan aktiviti pelancong terbanyak di Sabah.

Katanya, sejajar kedudukan itu, Jabatan Perikanan Negeri mengambil inisiatif mewujudkan sebuah Pusat Informasi Tagal di Kampung Luanti, di sini, sebagai pusat pembelajaran dan pendedahan kepada orang awam mengenai pengurusan tagal.

Menurutnya sistem tagal adalah berkonsepkan penglibatan komuniti dan melalui aktiviti tagal, pendapatan masyarakat luar bandar dapat ditingkatkan dengan adanya hasil tuaian ikan yang banyak, selain aktiviti tagal eko pelancongan seperti bermain ikan jinak, berkhemah di tepi sungai dan sukan memancing.

“Menyedari betapa pentingnya konsep dan objektif sistem tagal ini, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah telah menetapkan 10 tagal pada tahun ini sebagai salah satu indeks Pencapaian Utama (KPI) Jabatan Perikanan Sabah.

“KPI tagal ini telahpun tercapai, malah Jabatan Perikanan Sabah telah dapat mewujudkan sebanyak 14 tagal baharu, melebihi 40 peratus daripada sasaran yang ditetapkan. Ini menunjukkan konsep tagal ini sememangnya mendapat sambutan yang sangat baik dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Tagal di antara Jabatan Perikanan Negeri dengan sembilan jawatankuasa tagal di daerah ini, di Pusat Informasi Tagal Ranau di Kampung Luanti, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin dan Pengarah Perikanan Sabah Azhar Kassim.

Sembilan tagal terbabit ialah Tagal Kampung Gana Gana, Tagal Kampung Lobou Lama, Tagal Kampung Tompios, Tagal Kampung Kilimu, Tagal Kampung Togop Darat, Tagal Kampung Lobou Timbua, Tagal Kampung Nalapak, Tagal Kampung Perancangan dan Tagal Kampung Paus.

Sehingga kini, Jabatan Perikanan Sabah sudah menjalin MoU Tagal dengan 31 jawatankuasa tagal di negeri ini, termasuk 12 jawatankuasa tagal di Ranau.

MoU Tagal adalah satu nota kerjasama yang membolehkan Jabatan Perikanan memainkan peranan sebagai penasihat teknikal, memantau pencapaian sistem tagal sedia ada, menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah memperbaiki lagi sistem tagal serta mempromosi aktiviti ekopelancongan di kawasan tagal.

Jawatankuasa tagal pula berperanan dalam pengurusan kesalahan dan denda, mengurus kawasan tagal dan melaporkan data pendaratan hasil penuaian serta penangkapan kepada Jabatan Perikanan Sabah.

Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang berkata, selain sebagai satu sistem untuk melindungi, memulihara dan mengurus sistem perikanan sungai, sistem tagal telah menjadi produk pelancongan yang berjaya di Sabah.