SEMPORNA: Tahap kebersihan pekan dan perairan Semporna kini berada pada tahap membanggakan selepas sebelum ini tular berhubung kegusaran pelancong berkaitan persekitaran yang kotor dan aduan keracunan makanan kalangan pelancong baru-baru ini.
Tinjauan krew Sabah News Today mendapati kelihatan beberapa bot kecil menyediakan perkhidmatan mengutip sampah yang terapung bagi memastikan kawasan perairan Pekan Semporna sentiasa bersih di mata pelancong.
Seorang pelancong dari Negeri Sembilan, Mustapha Ali Hassan berkata, pihak pengurusan Majlis Daerah Semporna (MDS) perlu mengekalkan perkhidmatan ini bagi memastikan tahap kebersihan persekitaran Pekan dan Perairan Semporna dapat dikekalkan.
“Usaha ini perlu dikekalkan malah jika dapat dipertingkatkan, kerana Semporna merupakan tumpuan utama pelancong datang ke kawasan ini.
“Kepada mereka yang tidak bersetuju Semporna Bersih, boleh datang bercuti di sini sekali gus rasai keindahan pulau yang terdapat di sini,” katanya kepada Sabah News Today hari ini.
Sebelum ini Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar yang antara lain meminta Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN di Semporna.
Desakan itu berhubung kait dengan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, baru-baru ini, mengenai kegusaran pelancong ke Semporna kerana persekitaran yang kotor dan aduan keracunan makanan.
Mustapha berkata, setakat ini rata-rata pengunjung memberikan maklum balas yang positif sekali gus menunjukkan tahap kebersihan di daerah ini menjadi lebih baik berbanding masa lalu.