KOTA KINABALU: Penggiat sastera dan budayawan di Sabah disaran memanfaatkan keistimewaan negeri ini yang merangkumi keindahan alam semulajadi dan kepelbagaian seni budaya serta adat resamnya bagi menghasilkan karya sastera yang bermutu tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata Sabah sangat luas dan kaya dengan budaya serta adat resam dengan mempunyai 35 etnik dan 217 sub etnik yang bertutur dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik.
“Keindahan khazanah alam di negeri ini dengan bentuk muka buminya yang bergunung-ganang, pantainya yang luas dan pulau-pulaunya yang indah memukau juga sepatutnya dimanfaat oleh pejuang sastera dan budayawan,” katanya ketika melancarkan Hari Sastera Ke-19, di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif, Presiden Gapena Datuk Zainal Abidin Borhan dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia merangkap Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) Datuk Jasni Matlani.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha dan aktiviti untuk memartabatkan seni budaya serta adat tradisi masyarakat tempatan di negeri ini.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, pemilihan Kota Kinabalu sebagai tuan rumah Hari Sastera Ke-19 diharap dapat mengangkat seni dan sastera serta bahasa dan budaya orang Sabah ke pringkat nasional dan global.
Katanya, buku seperti antologi puisi, koleksi cerpen dan novel adalah bahan kesusasteraan yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat, terutama jika penulisnya seorang sasterawan yang terbilang.
Menurutnya sebagai seorang yang meminati kesusasteraan Melayu, beliau ingin melihat di Sabah mempunyai ramai penulis atau karyawan bukan sahaja terkenal tetapi tersohor dan termasyhur.
“Kita mempunyai ramai penulis dan penyair seperti Hasyuda Abadi, Jasni Matlani, Juri Durabi, Siti Rahmah G Ibrahim dan Abdul Karim Gullam, sekadar menamakan segelintir daripada mereka.
“Pada era 60an hingga 70an, kita mempunyai Jamdin Buyung, K Bali, Saidi Lampoh (S Mala), Ismail Abbas (Amil Jaya), MA Rahman, Noraini Salleh dan banyak lagi.
“Tetapi nama-nama tersebut tidak terangkat hingga ke peringkat nasional sebagaimana nama-nama besar seperti Abdullah Hussain, Arenawati, Usman Awang, Shahnon Ahmad, Anwar Ridwan dan Lim Swee Tin,” katanya.
Justeru, Hajiji berkata sudah tiba masanya penyair dan penulis dari Sabah diketengahkan di peringkat nasional dengan harapan pembabitan karyawan dan penggiat seni dapat menyemarakkan lagi dunia seni dan sastera, bahasa dan budaya di Sabah.
Katanya, di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan menggariskan pembangunan budaya pelbagai etnik di Sabah dengan sebanyak tujuh keutamaan ditetapkan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) untuk dilaksanakan.
Antaranya, beliau berkata pendigitalan seni budaya, pemuliharaan budaya, penyelidikan dan dokumentasi budaya serta pengembangan seni dan perlindungan harta intelek.
“Saya juga yakin, kegiatan bahasa dan sastera di Sabah ini akan terus menyerlah kerana kita mempunyai badan yang bergiat aktif memperjuangkan bahasa dan sastera.
“Semoga sambutan Hari Sastera ini akan menjadi pemangkin kepada gagasan lebih besar untuk menjadikan Sabah sebagai Dataran Bahasa Sastera dan Budaya yang terpenting di rantau ini,” katanya.
Sempena majlis itu, beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mempertimbangkan satu anugerah khas kepada pejuang sastera di Sabah.