Autonomi PH Sabah perlu dikekalkan

KOTA KINABALU: Majlis Tertinggi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang bermesyuarat hari ini berpendirian autonomi Pakatan Harapan (PH) Sabah harus dikekalkan bagi membolehkan gabungan itu membuat sebarang keputusan demi kepentingan parti dan rakyat negeri ini.

Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata autonomi itu penting bagi membolehkan keputusan dibuat antaranya berkaitan pengagihan kerusi serta calon pilihan raya di Sabah dan barisan kepimpinan PH negeri itu ditentukan melalui perbincangan parti komponen gabungan di negeri itu.

“Kita tidak mahu sebarang keputusan dibuat tanpa berunding dengan semua parti (komponen) PH di sini (iaitu) UPKO, PKR Sabah, DAP Sabah dan Amanah Sabah. Semua parti juga harus berbincang jika ada perubahan kepimpinan PH Sabah.

“Dua tahun ini juga pilihan raya negeri Sabah (bakal diadakan), jadi persiapan dan segalanya yang terkait itu autonominya harus diberikan serta dikekalkan kepada PH Sabah,” katanya hari ini.