Kerajaan Negeri sediakan RM101 juta biasiswa untuk pelajar cemerlang STPM, SPM pada tahun ini

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM101 juta biasiswa kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian tinggi pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata jumlah itu meningkat 84 peratus berbanding RM55 juta yang disediakan kerajaan negeri pada tahun lalu.

“Bagi tahun ini seramai 4,638 pelajar menerima Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah dengan peruntukan sebanyak RM101 juta berbanding RM55 juta pada tahun lalu,” katanya selepas menyampaikan tawaran biasiswa kepada 10 pelajar terbaik STPM Sabah di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk Zainudin Aman.

Hajiji berkata, peruntukan besar untuk pemberian biasiswa itu selaras dengan teras pembangunan modal insan yang digariskan dalam hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Ini adalah kunci untuk kita maju pada masa akan datang. Kita memerlukan rakyat yang pandai dan mahir dalam semua bidang kerana itu kita memberikan peruntukan tinggi untuk menaja anak kita belajar di universiti pada tahun ini,” katanya.

Penerima biasiswa katanya merangkumi pelajar yang mendapat tawaran di universiti awam, institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan universiti luar negara.

Seramai 10 pelajar cemerlang yang menerima surat tawaran biasiswa daripada Hajiji hari ini ialah Arnie Jaliusih, Julizza Jummain, Kelly Ng, Mahazir Mahmod, Nur Hafizah Mansor, Nur Syafienaz Herman, Nurul Azwa Azura, Dayangku Siti Aisyah Pg Ali Mudin, Legendra Harroy dan Shazliana Sahid.