Rakyat Terus Terkesan, PHRS Mahu Tindakan Segera Atasi Banjir Kilat

TAWAU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah menyuarakan kebimbangan rakyat apabila mendesak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertindak segera menangani isu banjir kilat yang semakin kerap melanda daerah ini.

Menurutnya, masalah berulang saban tahun tidak boleh lagi dianggap sebagai perkara biasa, lebih-lebih lagi apabila ia menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan rendah dan pinggir sungai.

“Kita tidak mahu banjir kilat ini menjadi ‘musim tahunan’ yang diterima sebagai lumrah.

“Setiap kali hujan lebat, rakyat resah, harta benda rosak, dan anak-anak terpaksa berdepan risiko keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa anjuran PHRS di sini hari ini.

Beliau menggesa agar JPS segera menyediakan laporan lengkap dan mengemukakannya kepada pihak berwajib supaya pelan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dapat dilaksanakan secara berfasa dan terancang.

Menurutnya lagi, lawatan tapak perlu dilakukan segera khususnya di kawasan DUN Kukusan dan beberapa lokasi hotspot di Tawau bagi mengenal pasti punca sebenar termasuk isu sistem perparitan, tebing sungai dan saliran tersumbat.

Tegasnya, rakyat tidak mahukan janji semata-mata, sebaliknya tindakan konkrit agar masalah banjir kilat di Tawau benar-benar dapat diselesaikan.

Hadir sama, Pemangku Timbalan Presiden PHRS, Samsiah Usman.