TAWAU: Seramai 245 mangsa banjir daripada 55 ketua isi rumah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau, awal pagi tadi, susulan hujan lebat berterusan selama enam jam di daerah ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau memaklumkan PPS berkenaan dibuka pada jam 3 pagi bagi menempatkan mangsa dari beberapa kawasan rendah yang dinaiki air.
Daripada jumlah itu, mangsa terdiri daripada enam warga emas lelaki dan enam warga emas wanita, 70 lelaki dewasa serta 73 wanita dewasa. Turut dipindahkan ialah 35 kanak-kanak lelaki, 42 kanak-kanak perempuan dan tujuh bayi, masing-masing empat lelaki dan tiga perempuan.
Hujan lebat yang bermula sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan berisiko dinaiki air. Sehubungan itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tawau menggerakkan operasi pemantauan bermula jam 10.15 malam dengan kekuatan empat pegawai dan 17 anggota lain-lain pangkat (LLP).
Antara kawasan terjejas ialah Kampung Batu 2 dengan bacaan paras air 0.81 meter dalam keadaan waspada. Taman Setia merekodkan bacaan 0.25 meter, manakala Jalan Sin On dan Taman Villa masing-masing mencatatkan paras air 0.30 meter dan dilaporkan masih terkawal.
Di Batu 9, paras air direkodkan setinggi 0.70 meter dan kawasan berkenaan dilaporkan dinaiki air.
Pada jam 1.13 pagi, seramai 12 anggota LLP terlibat dalam operasi memindahkan mangsa dari Kampung Tanjung Batu ke kawasan lebih selamat sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.47 pagi.
Trend paras air di Sungai Kinabutan Kecil, Sungai Tawau dan Sungai Saddani dilaporkan masih dalam keadaan terkawal setakat ini dan tiada kampung dilaporkan terputus hubungan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau memaklumkan pemantauan berterusan akan dilakukan di semua kawasan berisiko selain memastikan kebajikan mangsa di PPS sentiasa terpelihara.
Orang ramai yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
