Banjir di Kg. Tanjung Batu Keramat, 24 Mangsa Dipindahkan ke PPS

TAWAU: Seramai 24 mangsa banjir berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam kejadian bencana banjir di Kampung Kg. Tanjung Batu Keramat, di sini, malam tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 9.54 malam sebelum jentera dari BBP Tawau digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.

Komander Operasi, Mohd Yahya bin Abdul Fatah berkata, jentera tiba di lokasi pada jam 10.02 malam dan mendapati beberapa rumah terjejas akibat kenaikan paras air.

“Operasi penyelamatan dan pemindahan melibatkan 24 mangsa terdiri daripada 16 dewasa dan lapan kanak-kanak telah dilaksanakan dengan selamat ke PPS di Balai Raya Kg. Tanjung Batu Keramat,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi melibatkan kekuatan lapan anggota dengan sebuah jentera FRT, sebuah EMRS serta sebuah bot penyelamat.

Beliau berkata, paras air dilaporkan semakin surut berikutan hujan yang mulai berhenti sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.04 tengah malam selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi.

Sementara itu, Ketua Balai BBP Tawau, Jemishin Ujin ketika dihubungi mengesahkan semua mangsa berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

“CEPAT DAN MESRA,” katanya.